Friday, September 25, 2009

Salam Hari Raya

Yah mengirim sms : Ada rumah petang ini? Kami hendak datang.
Saya menjawab : 2-4 ada jemputan rumah terbuka.

Jam 3:45, Yah mengirim sms lagi : Boleh datang sekarang? Saya menjawab : Datanglah pukul 6. Saudara-mara saya masih ramai di sini. Saya belum nak balik lagi. Balas Yah : Tadi you kata, pukul 4 sudah selesai? Saya sampai 4:15. Bawa my mom. No where else to go.

Saya mencari Zainal, kemudian memohon diri daripada tuan rumah untuk pulang. Sejurus sampai di rumah, Yah tiba bersama suami dan ibunya. Makcik yang jalan bertongkat itu menyambut salam saya dengan senyum meleret.

Katanya, "Nama Makcik Milah. Nama awak Laila. Makcik teringat lagu lama, bunyinya macam ini... 'Mulalah mula, saya kahwin dengan Laila... Orangnya cantik, sayang sedikit setengah gila...'"

Makcik Milah ketawa terkekek-kekek. Yah menarik tangan saya.

Katanya, "Very sorry, I had to rush you. You know, my sister and my brother buat plan tak beritahu I... They all tak cakap apa-apa pun. We all tadi from my aunty's place, tapi my aunty pergi beraya. Then my sis and bro dengan family dia orang semua naik kereta, nak pergi jalan-jalan dulu sementara tunggu my aunty balik. And they left MY MOM with us. I tak dapat nak elak lagi, kenalah bawa dia." Saya tidak tahu apa salahnya ibu Yah ikut datang beraya ke rumah saya. Pelik juga saya melihat kelakuan Yah. Sementara saya membuat minuman, saya dengar Yah berkata, "Mak ni, bila orang bercakap, Mak suka menyampuk. Lepas tu Mak tak faham apa orang cakap. Lain kali, Mak tak tahu apa-apa, lebih baik Mak diam."


Saya sajikan teh O dan nescafe. Makcik Milah mahu nescafe lalu disergah Yah, "Astagfirullah... Mak tu kan ada darah tinggi... nanti Mak tumbang dan jatuh terbalik... berani nak minum nescafe?" Saya menukar topik dan bertanya, "Berapa umur Makcik?" Jawab Makcik Milah, "70 lebih." Yah mencemikkan bibirnya, "Hmmm, she's forever 70 plus, Lela!"

Makcik Milah buat selamba saja sambil berbual dengan suami Yah. Yah bercerita tentang kisah arwah Yasmin Ahmad, produser filem yang baru meninggal dunia. Makcik Milah menyampuk, "Michael Jackson pun dah mati, Laila... Lama baru orang dapat tanam mayat dia... Betulkah dia sudah masuk Islam?" Yah geleng kepala sambil mendengus. Makcik Milah mencicah tempeyek dalam nescafenya. Saya mohon diri untuk solat asar. Yah sibuk dengan handsetnya sementara Makcik Milah dan suami Yah menonton bola sepak di TV. Ketika hendak pulang, Makcik Milah berkata, "Laila, tandas awak tandas cangkung atau tandas duduk? Sebelum balik, Makcik nak pergi tandas dulu. Nanti senang. Tak payah pergi tandas lagi."

Yah mendengus. Saya memimpin Makcik Milah ke tandas. Yah yang masih sibuk dengan handsetnya berkata, "Please Lela. You show her how to use the toilet."

Saya berkenalan dengan Yah 10 tahun lalu ketika kami sama-sama membuat umrah di bulan Ramadan. Kami mengikut pakej berlainan tetapi selalu terserempak ketika hendak bersolat tarawih di Masjidil Haram. Ketika itu Yah batuk dan saya memberinya gula-gula hacks. Esoknya saya pula batuk ketika bersolat tarawih dan Yah mengambilkan saya air zam-zam 'bidun salj'. Selepas pertemuan itu kami berkawan baik. Yah yang sudah mengambil VSS rajin ke masjid dan mengaji Al-Qur'an. Ketika bulan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya, Yah selalu bercerita tentang qiamullailnya di setiap malam pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar. Semoga Allah memberinya petunjuk bahawa syurga yang diimpikan berada di bawah telapak kaki ibunya. Buat pengunjung blog ini, Salam Hari Raya dan Maaf Zahir Batin daripada saya sekeluarga.

3 comments:

  1. salam raya kak lela,

    nauzubillah dari melayan ibu kita sebegitu. kesian ibu dia ber anak kan yah...!

    ReplyDelete
  2. Macam-macam perangai manusia ni. Sama-sama kita berdoa agar dikurniakan anak yang dapat menjaga kita bagai kita menjaganya masa bayi dulu! Aminnnnnnnnnnn!
    Sekarang dah buku ke berapa?

    ReplyDelete
  3. Waalaikum salam Lela,
    Bik ucapkan selamat berangkat ke tanah suci semoga Lela sekeluarga selamat pergi dan selamat kembali serta mendapat haji yang mabrur.
    Ketika sembahyang hari raya hari tu, bik intai-intai gak kalau-kalau terjumpa,nak gak tanga khabar terkini , tapi tak nampak batang hidung pun, mungin Lela di tempat lain atau di masjid lain.
    Insyaalah sebaik selesai mudism haji , bik dan suami akan ke Umrak lak...sebab masa tu orang tak ramai. Memang pun bik pergi selalu masa-masa seperti itu...
    Sama-sama kita bermaafan agar diri kita sentiasa tiada titik hitam.Salam sayang daripada bik........

    ReplyDelete