Thursday, October 8, 2009

KT01


Pada 2 & 3 Oktober lalu, Tabung Haji Melaka mengadakan Kursus Haji Perdana di Masjid Al Azim bagi bakal-bakal haji dari daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah. Kami tiga beranak menyertainya. Meski pun hanya latihan olok-olok, suasana ketika itu - melakukan tawaf mengelilingi Kaabah replika, bersaei di jalan raya di depan Masjid Negeri itu, bermabit waktu malam di sekitar kawasan pakir Hospital Besar Melaka, melontar tiga jamrah di perkarangan masjid dan bertalbiah beramai-ramai dengan berpakaian ihram, dirasai bagaikan sudah berada di tanah suci. Girangnya hati saya membayangkan Baitullah sebenar di depan mata. InsyaAllah kami akan berangkat ke sana dengan penerbangan pertama pada 20 Oktober nanti.


Ini bukanlah haji saya yang pertama. Saya pernah menunaikan haji pada tahun 1989 sewaktu berusia 29 tahun kerana menemani ayah dan ibu saya. Zainal dan Alum tidak ikut serta sebab kami tidak cukup bajet. Waktu ayah saya mengajak menunaikan haji, beliau berkata begini : "Lela, kalau awak tidak mahu ikut, rasanya tahun depan Bak sudah meninggal dunia." Kata-kata beliau itu sangat menyedihkan hati lalu saya bersetuju untuk pergi setelah Zainal mengizinkan. Pada waktu itu saya belum bersedia daripada segi mental dan kewangan. Yang saya bawa ke sana hanyalah sekeping hati dengan penuh pengharapan dan tawakkal. Arwah ayah yang membiayai separuh daripada kos haji saya. Lebih kurang 52 hari sekembalinya kami dari tanah suci, ayah saya kembali ke rahmatullah. Saya bersyukur dapat bersama-sama ayah saya di hari-hari terakhirnya di tanah suci. Bagi saya itulah hadiah ayah yang amat bermakna buat saya, anaknya yang jahil ini. Mengenang kembali pengalaman haji pertama saya, ia ibarat calon PMR menduduki peperiksaan dan mendapat pangkat C atau D untuk semua subjek. Itulah bisikan hati kecil saya. Aduhai!

Pada tahun 1993, saya menunaikan haji sekali lagi bersama Zainal dan Alum. Waktu itu Alum baru lapan tahun. Meski pun sudah berpengalaman menunaikan haji, saya dapat rasakan defect list saya panjang betul. Maklum saja ketika itu usia saya baru 33 tahun dan minat membeli-belah sedang menggebu-gebu. Aduhai, rasa hendak tekup muka lama-lama apabila saya teringat betapa kerapnya saya membuat tawaf kedai! Mengenang kembali pengalaman haji kedua saya, ia ibarat keputusan audit ISO yang mendapat berpuluh-puluh NCR dan mendapat komen begini : Not recommended for certification! Itulah bisikan hati kecil saya.

Tidak pernah terfikir di fikiran Allah akan menjemput saya lagi untuk menunaikan haji. Tujuh tahun lalu kami mendaftar secara suka-suka. Alhamdulillah tahun ini kami terpilih. Sahabat baik saya, Halimaton berkata : "Buat apa kau mahu pergi haji lagi? Kehadiran kau akan menyempitkan bumi Arafah saja. Lebih baik kau hantar orang lain pergi haji. Sponsorlah orang-orang tua yang alim tapi tiada kemampuan. Itu lebih afdal." Saya termenung memikirkan kata-kata Halimaton, memang ada kebenarannya. Kewajipan haji dituntut hanya sekali. Namun gerak hati saya mendorong-dorong supaya menerima jemputan istimewa ini. Saya sama sekali tidak menduga Alum mahu menerima jemputan ini. Kami tidak memaksa dia ikut serta tetapi alhamdulillah, dia bersetuju dan mengambil cuti tanpa gaji.

Kali ini insyaAllah saya pergi ke tanah suci sebagai seorang wanita yang sudah matang. Pada usia 49 tahun jika masih belum matang, itu sudah jadi kes berat. Moga-moga saya tidak lalai dan leka lagi seperti dulu. Semakin dekat hari hendak bertolak, hatiku terus berbisik-bisik : "Ya Allah, aku menyahut panggilanMu! Ya Allah, aku datang lagi dan menyahut panggilanMu! Aku datang dengan membawa dosa-dosaku yang menggunung banyaknya. Aku datang membawa diriku yang kerdil ini dengan mengharap keampunan dan keredhaanMu."

Buat anda para pembaca blog ini, saya memohon maaf di atas segala salah silap saya jika ada terkasar bahasa atau menulis sesuatu yang mengguris hati di laman ini. Doakan saya sekeluarga semoga kami selamat menunaikan haji. InsyaAllah, panjang umur kita berjumpa lagi. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

2 comments:

  1. selamat menunaikan ibadat haji maklang paklang n abg alum. doakan ya sama :)

    ReplyDelete
  2. hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

    ReplyDelete