Saturday, February 20, 2010

Kisah Aneh

Saya terima sms : Kak Aji, kenapa tak update blog? Apa sudah jadi?
Saya jawab : Sekarang ini mana ada orang baca blog. Sekarang ini zaman Facebook.

Itu hanya alasan. Jawapan sebenar ialah kesuntukan masa. Hari ini genap 2 bulan saya balik dari tanah suci. Meski pun begitu apabila bertemu kawan-kawan masih ada yang bertanya tentang kisah-kisah di tanah suci. Soalan paling kerap ialah : Apa pengalaman pelik-pelik di sana?


Kebanyakkan orang yang pergi ke tanah suci memang ada melalui pengalaman aneh. Contohnya cerita seorang jemaah tentang rakan sebiliknya yang suka komplen tentang bilik penginapan mereka. Kipas berkeriut, aircon tidak sejuk, dll. Setiap malam si fulan itu tidak selesa tidur di katilnya. Kemudian dia pindah tidur di lantai atas karpet, juga tidak selesa. Akhirnya dia terlelap di depan pintu bilik air. Setiap malam dia bawa bantal dan selimut dan berdengkur di depan pintu bilik air itu.

Di bilik saya ada seorang makcik berusia 70an. Sejak sampai di Mekah beliau tidak mahu makan. Hari-hari dia moody sebab tiada selera. Makanan yang disediakan oleh Tabung Haji langsung tidak disentuh sebab katanya berbau busuk. Anak dan menantunya membelikan KFC dll, juga dia tidak mahu makan. Dia asyik menyebut ulam daun cekur dan sambal tempoyak. Selepas 10 hari berlalu makcik itu jatuh sakit dan terpaksa dihantar ke Hospital Aziziyah. Dia di rawat di sana selama 5 hari.

Zainal menyambut hari jadinya yang ke 54 ketika di tanah suci. Kami meraikannya di Restoran Sunda yang terletak di bangunan Hilton, selepas solat isya’. Alum memesan 3 set nasi bariyani berlauk udang besar. Kata Alum : Abah, malam ini kita balas dendam. Harga jangan kira. SR30 satu set pun tara apa-apa sebab malam ini Mak yang belanja.

Kami tiga beranak ketawa terkekek-kekek. Seronok benar rasanya malam itu sebab sudah lama kami mengidamkan udang (dek selalu benar makan ayam di sana). Ketika itu semua meja penuh dengan pelanggan. Kemudian satu pasangan Indonesia beredar dan kami duduklah di meja yang mereka kosongkan itu. Seorang lelaki datang mengemaskan sisa-sisa makanan di atas meja itu.

Kebetulan ada sebuah pinggan berisi nasi. Nasi itu kelihatan baru sedikit berusik, lalu lelaki itu menyuruh kami memakannya. Kami menolak dan memberitahunya kami sudah pesan makanan. Lelaki yang mengemas meja itu masih menyuruh kami makan. Dia bercakap Bahasa Arab dan gayanya seperti berkata : Ini rezeki. Jangan membazir. Makanlah. Nasi ini baik.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki berserban besar. Cara pakaiannya seperti orang Afghanistan. Dia pergi ke meja kami dan menunjuk-nunjuk nasi itu, lalu terus menyuap ke mulutnya. Satu suap, dua suap, tiga suap… nampaknya dia terlalu lapar. Zainal menyuruh dia duduk. Lelaki itu duduk dan terus makan nasi kosong itu tanpa henti. Kami memandangnya dengan terpinga-pinga. Mata lelaki itu jernih. Sepatah pun dia tidak berkata-kata. Dia hanya memandang kami kemudian terus menyuap nasi itu.

Sejurus kemudian sampailah hidangan yang kami pesan. Kami mengajak lelaki itu makan bersama tetapi dia mengangkat pinggannya yang hampir kosong dan beralih ke meja sebelah. Alum pergi memesan satu set nasi bariyani berlauk ayam untuk lelaki itu dan setin Mountain Dew.

Entah mengapa kami bertiga bagaikan terputus selera. Nasi bariyani berlauk udang besar itu rasa tidak tertelan. Kami asyik memerhatikan lelaki itu makan. Cara dia makan beria-ia menimbulkan satu perasaan sedih. Kesedihan itu terasa menusuk ke hati dan menimbulkan rasa kasihan dan insaf. Ketika kami beredar, lelaki itu mengangkat tangan sebagai tanda terima kasih.

2 comments:

  1. Salam puan Lela,

    Saya juga tertanya-tanya mengapa blog ini sudah tidak ada entri baru,kini sudah dapat jawapannya. :D

    ReplyDelete
  2. Coin Casino Review | Bonuses, Free Spins & Games
    Read our complete review of Coin Casino from our review and 인카지노 discover what you can expect หาเงินออนไลน์ from this new online casino.Casino Promotion: Coin Casino: 200% choegocasino up to 200 Free SpinsBonus: 100% up to C$1,600

    ReplyDelete