Teknik coaching wajar dipelajari oleh sesiapa jua yang berminat membantu orang lain dan diri sendiri (self-coaching). Tanpa sedar, sesetengah daripada kita sudah pun mengamalkan beberapa teknik coaching dalam kehidupan seharian dan kita melakukannya dengan stail tersendiri. Hasilnya pula adakala berkesan dan pada ketika lain mungkin kurang menjadi.
Mempelajari teknik coaching yang betul membawa banyak faedah kerana ia boleh diaplikasikan dalam berbagai situasi bagi mencapai matlamat yang kita sasarkan. Contohnya di tempat kerja, dalam operasi bisnes, kehidupan seharian, perhubungan sesama insan dan beberapa bidang lain di mana kita perlu menangani pelbagai isu yang kompleks dan mencabar.
Matlamat utama untuk dicapai dalam proses coaching ialah membantu coachee (iaitu individu yang dicoach) meningkatkan prestasinya daripada satu tahap ke tahap yang lebih baik. Ringkasnya coaching melibatkan proses melakukan perubahan. Oleh itu coaching amat berkesan apabila coachee yang menjalani proses itu melakukannya secara sukarela dan bukan kerana dia terpaksa. Dengan lain perkataan, adalah sukar untuk mengcoach individu yang tidak bersedia atau tidak mahu membuat perubahan.
Dalam coaching, coach bertindak sebagai rakan sepanjang jalan. Dia membantu coachee melakukan perubahan bagi mencapai matlamat yang disasarkannya (oleh pihak coachee). Bantuan yang diberi oleh coach ialah dengan menerbitkan kesedaran, mendorong coachee mengambil tindakan dan memantau kemajuan yang dicapai.
Coaching berbeza dengan consulting di mana dalam coaching, jawapan yang dicari datang daripada pihak coachee sendiri. Dalam consulting pula, consultantlah yang akan menentukan apa tindakan yang perlu diambil oleh pelanggannya.
Terdapat dua kemahiran yang menjadi teras utama dalam proses coaching iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertanya. Di sini saya akan menerangkan apa yang dimaksudkan dengan kemahiran bertanya soalan bertenaga atau powerful questioning. Dalam coaching, apabila hendak mengajukan sesuatu soalan kepada coachee, coach perlu terlebih dahulu memikirkan apakah tujuan soalan itu ditanya.
Untuk kita bertanya apa-apa soalan sahaja memang agak mudah. Bagaimana pun, ia boleh bertukar menjadi perbualan biasa (a nice chit-chat). Bertanya soalan dengan tujuan tertentu memerlukan kita berfikir. Soalan perlu diolah supaya kita mendapat jawapan yang boleh membantu pencapaian matlamat yang disasarkan oleh coachee.
Apabila coach bertanya sesuatu soalan, tujuan asas pertanyaan itu ialah bagi mengetahui apa yang akan mendorong coachee mengorak langkah untuk maju ke hadapan. Lain-lain tujuan coach bertanya powerful questions ialah bagi :-
- Memahami pandangan, perasaan dan situasi di pihak coachee.
- Mencabar andaian-andaian yang dibuatnya.
- Mencari kemungkinan dan alternatif baru.
- Mencetuskan komitmen dan tindakan di pihak coachee.
- Mengalihkan perhatian coachee kepada masa hadapan dan bukan mencari sebab-musabab bagi mewajarkan kegagalan yang sudah lepas.
No comments:
Post a Comment