Wednesday, August 6, 2008

Pengalaman Di Pesta Buku Selangor

Sejak menjadi penulis, sudah 4 kali saya terlibat dengan program buku (Book Talk dan Author Signing). Ia pengalaman mencabar buat seorang insan yang tebal sifat pemalunya seperti saya. Hmmm, masih teringat lagi bagaimana ketaqnya saya ketika berdiri di atas pentas sambil membicarakan buku-buku saya di pusat beli-belah Jusco Alpha Angle suatu ketika dulu...

Hampir seminggu menjelang program bicara buku pertama buat saya itu, saya tidak lena tidur. Jika dapat tidur pun, sekadar tidur-tidur ayam. Bukan sahaja tidur tidak lena, mandi pun macam tidak basah, makan pula terasa tiada selera.

Apabila acara itu sudah selesai saya merasa seperti terapung-apung di atas awan! Leganya hatiku bukan main. Bahkan ketika itu saya sudah mula berangan hendak buat sekali lagi (bercakap di atas pentas), hohoho! Hmmm, bagi saya, kejayaan menakluki rasa takut ibarat berjaya menakluki Gunung Everest.

Pengalaman kedua pula berlangsung di Mahkota Parade, Melaka. Meski pun sudah ada secubit pengalaman, perasaan gementar tetap mengganggu jiwaku. Namun semuanya saya harungi jua dengan nekad dan membuat muka selamba ketika duduk bercakap di atas pentas ditemani Pegawai Media PTS, En. Roslan Isa. Selepas acara itu, sekali lagi saya merasa seperti terapung-apung di atas awan. Aduhai!

Sifu saya, Puan Ainon Mohd., berkata : Tiada siapa pun yang tahu kita sedang takut jika kita pandai sembunyikan perasaan itu. Orang tidak akan tahu jika kita dapat mengawal bahasa badan (body language) seperti tertunduk-tunduk, tersipu-sipu dan menggelabah. Hmmm, sebenarnya saya tahu semua itu. Di usia 48 tahun ini memang banyak perkara yang saya sudah tahu. Cuma secara praktikalnya, saya masih perlu terus berusaha…

Minggu lalu di Pesta Buku Selangor, saya bertemu rakan penulis yang lebih senior, Tuan Sunthara Segar. Seperti saya, beliau juga terlibat dalam program Author Signing yang dianjurkan pihak PTS. Meski pun pertemuan itu singkat, saya dapat mempelajari beberapa perkara daripada Tuan Sunthara. Yang pertama sekali, beliau menunjukkan cara mempromosi buku. Saudara ingin tahu apa dilakukannya?

Hmmm, Tuan Sunthara sungguh peramah, dia menegur hampir semua pengunjung yang lalu-lalang di depan gerai PTS. Katanya : Saya penulis buku ini (sambil menunjukkan sederet bukunya kepada pengunjung itu). Wajahnya tersenyum manis. Seterusnya apabila pengunjung itu bertanya sesuatu, Tuan Sunthara menjawab : Oh, perkara itu ada saya tuliskan di bab 9. Encik baca di sini, tempat yang saya tandakan ini (sambil menunjukkan bab itu kepada orang yang bertanya).

Tuan Sunthara memang seorang jurujual yang profesional. Saya suka melihat dia membesar-besarkan matanya ketika bercakap. Dia tampak sungguh meyakinkan dan bersemangat. Dia mengajar saya lagi : Berikan kad nama Puan kepada pengunjung. Kadang-kadang mereka sekadar melihat-lihat dahulu dan tidak terus membeli buku kita. Jadi, kita berilah sedikit buah-tangan supaya boleh dibawanya pulang. Kad nama kita itu sangat penting, berikan kepada mereka supaya mereka teringatkan kita.

En. Sunthara bukan sahaja mempromosi buku-bukunya tetapi turut mempromosi buku-buku saya. Katanya kepada sekumpulan pengunjung wanita : Saudari-saudari mahu jadi usahawan? Baca buku ini (Kisah 50 Usahawan Wanita). Ini penulisnya, Puan Norlela Zubir. Yang lucunya saya secara tiba-tiba menjadi tersipu-sipu ketika seorang budak perempuan menghulurkan 2 buah buku kepada saya sambil meminta tandatangan : Ini untuk ibu saya. Namanya Puan Zurinah! Saya pun menandatangan buku-buku itu sambil diperhatikan Tuan Sunthara yang terus memanggil pengunjung lain.

Aduhai, waktu itu peluh saya merecik-recik keluar. Puas saya lap dengan tisu tetapi masih terus keluar lagi dan lagi. Saya sebenarnya terasa sangat malu, eh… bukan malu, tetapi darah gemuruh, hohoho! Tuan Sunthara terus mengusik saya : Puan sedang berpeluh, hahaha! Sabar, sabar, jangan panic, hahaha! Saya turut ketawa bersamanya.

Petang itu saya menyedari bahawa sebagai penulis saya perlu pandai menjual buku-buku saya. Bak kata Editor PTSPro, Tuan Aizat : Penulis perlu bekerjasama. Di PTS terdapat terlalu banyak buku untuk dipromosi. Jika penulis membantu promosi bukunya, tentulah lebih baik. Saya bersetuju dengan En. Aizat dan saya juga berterima kasih kepada Tuan Sunthara kerana mengajar saya menjadi seorang jurujual.

6 comments:

  1. Terima kasih di atas kesudian mempromosi nama saya. Saya masih lagi guna "trial dan error" dalam promosi buku-buku. Saya yakin setiap penulis perlu mencari gaya tersendiri dan mengubahsuai taktik yang dipelajarinya supaya sesuai dengan jiwa dan personaliti. Pujian untuk Puan juga kerana sanggup datang, duduk di situ dan melayan karenah pembaca. Bukan senang untuk konsultan professional melupakan ego, turun padang dan "roll up the sleeves" untuk melakukan suatu aktiviti yang ROInya belum tentu memuaskan. Hidup Puan Norlela!!!

    ReplyDelete
  2. Tuan Sunthara yang dihormati,

    Saya bersetuju dengan Tuan. Ego kita perlu diletak ke tepi supaya dapat terus belajar perkara-perkara baru.

    Ya, ROInya belum tentu memuaskan ketika ini, namun sebagai penulis yang belum terkenal, saya rasa berbaloi juga diberi kesempatan dan ruang untuk memperkenalkan diri kepada masyarakat pembaca.

    Saya sudah link ke blog Tuan. Sehingga kita berjumpa lagi, salam hormat.

    ReplyDelete
  3. Tahniah Puan Norlela. Teruskan praktis public speaking! Mesti ramai orang beli buku Puan nanti.

    ReplyDelete
  4. Puan Ayu yang dihormati,

    Terima kasih memberi semangat kepada saya. Hmmm, saya tahu Puan ini sudah biasa bercakap di pentas dan kerap menjadi MC dalam majlis-majlis. Berilah tip-tip bagaimana hendak buang 'ketaq'...!

    ReplyDelete
  5. Saya setuju benar dengan kata-kata puan norlela;

    "...kejayaan menakluki rasa takut ibarat berjaya menakluki Gunung Everest."

    Tahniah!

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum Puan Norlela,

    Syabas puan!

    Saya baru nak memulakanlangkah pertama dengan book talk saya.

    :)

    ReplyDelete