Monday, June 30, 2008

Ceramah Coaching Di Majlis Hi-Tea Bersama Wawasanita Melaka

Pada petang Jumaat minggu lalu, saya dijemput bercakap di sebuah majlis minum petang. Ia dihadiri lebih 30 orang usahawan wanita. Majlis anjuran Wawasanita Perhubungan Negeri Melaka itu diraikan bersama oleh Setiausaha Agung Wawasanita Malaysia, Hajah Zabedah Ahmad.

Ceramah saya bertajuk bagaimana pendekatan coaching dapat membantu para usahawan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi dalam bisnes. Sebahagian daripada mereka yang hadir sudah pun membaca buku-buku saya dan pernah menghadiri seminar di mana saya turut memperkatakan tentang khidmat coaching yang kini saya tawarkan buat para usahawan kecil dan sederhana.

Puan Hajah Zabedah berkata : Orang suka membaca buku-buku yang penulisnya mereka kenali. Membeli di kedai buku tidak sama kerana di sini mereka berpeluang bercakap sendiri dengan penulis. Puan sepatutnya membawa buku-buku Puan petang ini.

Hmmm, saya sebenarnya terniat membawa buku-buku saya tetapi tidak jadi kerana saya fikirkan tidak sesuai pula menjual buku di majlis minum petang itu. Sepatutnya saya bawa saja kotak berisi buku-buku itu dan letakkan dalam bonet kereta. Apabila orang bertanya, senanglah diambil. Hmmm, lain kali saya akan ingat. Ada beberapa orang yang memesan buku petang itu dan saya berjanji akan menghantar minggu ini.

Antara cara berkesan bagi membuktikan faedah coaching ialah dengan memberi peluang kepada para usahawan itu merasai sendiri pengalaman sesi coaching bersama saya. Petang itu saya menawarkan 50 jam coaching secara percuma buat ahli-ahli persatuan itu. Beberapa orang sudah berjumpa saya menyatakan hasrat mereka untuk mengatur temujanji.

Seperti saya katakan di entri sebelum ini, 2 perkara paling signifikan untuk dicapai dalam coaching ialah mewujudkan kesedaran (creating awareness) dan melakukan perubahan (making changes). Tugas seorang coach ialah membantu coacheenya mencapai kedua-dua perkara itu.


Apakah maksud mewujudkan kesedaran? Kesedaran tentang apa? Yang dimaksudkan di sini ialah coachee disedarkan bahawa wujud satu jurang (gap) antara tahap di mana dia berada dengan tahap yang ingin dicapainya. Bagi merapatkan jurang itu, coachee juga bersetuju dia perlu membuat perubahan.

Namun begitu, bukan mudah bagi coachee mengambil tindakan untuk mencapai matlamat yang diingininya. Mengapakah ini berlaku? Jawapannya ada pada soalan : Apa yang perlu berubah?

Perkara yang mahu diubah biasanya melibatkan sesuatu yang sudah sangat sebati dalam diri kita. Contohnya, tabiat (our habits), nilai yang kita pegang (the values we hold), sistem kepercayaan (our believe system), persepsi terhadap sesuatu dan minda (our mindset). Perkara-perkara seperti ini tidak mudah diubah jika kita sekadar melakukannya seorang diri.

Di sinilah perlunya seorang coach yang akan bertindak sebagai rakan yang menjadi pendorong, pemantau, menjadi sounding board bagi memberi maklum-balas secara objektif dan sebagainya. Itulah peranan yang dimainkan seorang coach.

Hmmm, berbalik kepada cerita di majlis hi-tea petang kelmarin, hati saya tercuit melihat reaksi spontan rakan-rakan usahawan yang candi berkaraoke dan menari sesama sendiri. Mereka mengajak saya berkaraoke sama tetapi, hohoho, mana mungkin saya menunjukkan 'belang' di hadapan mereka!

Anda ingin tahu rahsia kecil saya (my little secret)? Saya sebenarnya agak gila-gila juga (bukan gila ya!) tetapi saya sangat berhati-hati agar dapat menyorokkan 'belang' itu. Sesungguhnya saya merasa terhibur dengan nyanyian Pengerusi Wawasanita Perhubungan Negeri Melaka, Puan Nik Faridah Salleh (bertudung hitam) dan ahli-ahli Wawasanita yang lain.

Sunday, June 29, 2008

Kisah 'Die-Hard Fan' Durian & Nilai RM9

Pada suatu malam minggu baru-baru ini, Zainal mengajak saya keluar. Kami sekadar hendak meronda-ronda di jalan raya sambil menikmati bulan terang yang sedang mengambang dan cahaya lampu neon yang berkelipan sambil menghirup angin malam. Dengan mood yang santai, saya yang berbaju blaus dan berkain batik terus melangkah masuk ke dalam kereta.

Tanpa tujuan yang jelas, kami menyusuri jalan ke Bukit Baru. Di tepi jalan besar itu ada sebuah gerai menjual durian. Secara tabiinya, saya kurang berminat dengan durian tetapi pada malam itu tergerak pula hati hendak membeli. Zainal (yang merupakan seorang die-hard fan durian) terus membrek kereta.

Kami pun melihat-lihat longgokan durian di atas meja panjang sambil memilih mana-mana yang berkenan. Kelihatan beberapa tanda harga di sisi longgokan-longgokan durian itu. Pada satu longgokan, tertulis tanda harga RM6/kg tetapi apabila ditanya kepada pekerja gerai itu, beliau menjawab : Yang itu RM11/kg. Saya bertanya lagi : Mengapa pula RM11? Lalu dijawab : Tanda harga ini tersalah tulis.

Hati saya tergerak hendak menegur bahawa perbuatan meletak tanda harga yang tidak betul adalah salah di sisi undang-undang tetapi saya berat mulut pula. Dipendekkan cerita, kami membeli 3 biji durian yang beratnya 3 kg dengan harga RM33 tanpa menawar sesen pun.

Seperti biasa, apabila membeli barang makanan (yang bakal menjadi darah-daging), lebih-lebih lagi jika penjualnya orang Melayu, kami tidak suka menawar harga. Begitulah sikap kami yang sangat menyokong bisnes orang kita. Namun begitu, di saat kami hendak membayar, tauke gerai itu merungut-rungut sambil memarahi pekerjanya. Ikuti dialog mereka berdua yang berlaku di hadapan kami :-

Tauke : Kenapa engkau jual RM11/kg? Durian itu harganya RM14/kg.

Pekerja : Habis, aku hendak buat macam mana sekarang?

Tauke : Lain kali tengoklah betul-betul (sambil menjeling dan menarik muka 14).

Pekerja : (Terdiam dan terus memasukkan durian kami ke dalam beg plastic).

Iktibar untuk peniaga

  1. Jagalah hati pelanggan. Usahlah bertengkar dan memarahi pekerja anda di depan mereka. Perbuatan seumpama itu amat jelek dan membuat pelanggan tidak mahu datang lagi ke kedai anda.
  1. Jika sudah tersilap memberi harga, beritahulah hal sebenar kepada pelanggan dengan cara sopan dan memohon maaf terlebih dulu. Jangan pula pelanggan dipandang serong seolah-olah mereka cuba mengambil kesempatan ke atas kesilapan yang berlaku.
  1. Dengan melihat tauke gerai itu menjeling dan bermasam muka, kami merasa terkejut. Alangkah baiknya jika tauke itu berkata begini kepada kami : Tuan, pekerja saya ini sudah tersilap memberitahu harga durian yang tuan pilih. Tetapi tidak mengapalah, kali ini rezeki Tuan. Lain kali, sudilah datang lagi ke gerai saya.
  1. Cuba anda bayangkan apa reaksi kami jika dilayan dengan kata-kata seperti itu? Sudah pasti kami akan datang lagi berulang-kali dan memberitahu sikap baik tauke itu kepada rakan-taulan dan saudara-mara kami supaya mereka juga membeli di gerai durian itu. Alangkah baiknya jika tauke itu tahu mengguna nilai RM9 untuk mempromosi bisnesnya.
  1. Hanya kerana kerugian RM9 (RM3 x 3 kg), tauke gerai itu merengus dengan kasar. Dia terlepas pandang seorang pelanggan yang sememangnya die-hard fan durian seperti Zainal. Kalaulah dia tahu yang Zainal sanggup berbelanja ratusan RM hanya untuk durian... Apalah sangat kerugian RM9! Hmmm, sayang sekali tauke itu tidak tahu memanafaatkan peluang yang ada untuk memikat hati pelanggannya.
  1. Untuk makluman anda, ketiga-tiga biji durian itu sangat sedap dan elok isinya. Jika tidak kerana pengalaman yang menyerikkan, pasti Zainal sudah mengunjungi lagi gerai durian di Bukit Baru itu. Alahai!
Nota : Menarik muka 14 bermaksud mencerutkan atau mengkomotkan muka sehingga menjadi masam mencuka. Jika tidak silap saya terma ini diguna oleh orang-orang Melaka sahaja.

Thursday, June 26, 2008

Coaching Practice

Hanya tinggal 6 minggu lagi dan insyaAllah di pertengahan Ogos nanti, saya akan disahkan sebagai Cerfified Business Coach oleh UMCCed. Namun soalan paling utama ialah : sudah bersediakah saya menjadi seorang Personal & Business Coach?

Seperti kemahiran lain, coaching memerlukan banyak latihan amali. Bagi saya, tiada cara lebih berkesan selain mempraktikkan sepenuhnya ilmu yang sudah dipelajari sepanjang beberapa bulan ini dan bersedia mengambil risiko melakukan beberapa kesilapan dan belajar daripadanya.

Semuanya bergantung kepada inisiatif sendiri. Lebih banyak latihan dilakukan adalah lebih baik. Ia akan membuka ruang untuk saya terus mencuba, memperbaiki dan memecahkan rekod sendiri (meski pun hanya rekod-rekod kecil) supaya dapat meningkatkan kemahiran daripada tahap sediaada kepada satu tahap yang lebih baik. Ya, bak kata orang : Very small differences, consistently practiced, will produce results.

Semalam adalah sesi coaching yang kedua bersama coachee saya. Kami bertemu di Starbuck, KLCC. Meski pun pengalaman saya sebagai coach belum seberapa, saya dapat rasakan dia (coachee) menganggap saya seperti seorang coach profesional (hohoho!).

Saya katakan begitu melalui reaksi dan tindak-balas beliau kepada saya selama sesi sejam lebih itu berlangsung. Ia satu pengalaman menarik. Melalui coaching, saya belajar menjadi seorang pendengar yang berupaya memahami situasi seseorang tanpa bersikap prejudis terhadapnya dan apa yang saya dengar daripadanya.

Bukanlah mudah untuk duduk bersama seseorang yang baru dikenali dalam tempoh agak singkat dan dengan bersikap empati kepadanya, dapat membina hubungan dan kepercayaan (building rapport and trust) sehingga dia boleh bercerita tanpa berselindung tentang sesuatu isu yang dihadapinya.

Saya sedar ada melakukan beberapa kesilapan di sana sini (I was stuck and didn't know how to proceed at one or two points) tetapi dengan terus memfokus kepada coachee dan isunya, saya dapat mencari jalan bagi mengatasi kelemahan itu (and I got back on track).

Memahirkan diri dengan proses coaching ibarat menyelesaikan sebuah puzzle. Pada peringkat awal, agak pening-pening lalat kita dibuatnya, lebih-lebih lagi jika melakukannya dengan cara ikut buku. Seperti kemahiran lain, ia memerlukan sedikit kreativiti dan kesabaran.



Amat perlu bagi seorang coach mengamalkan sikap ingin tahu (be curious) dan tidak membuat andaian-andaian sendiri dalam proses dia mendapatkan maklumat berguna bagi membantu coacheenya mencari solusi yang sesuai dilaksanakan.

Saya sudahi entri ini dengan dua kata hikmah untuk kita renungi :-

"Don't be afraid to give your best to what seemingly are small jobs. Every time you conquer one, it makes you that much stronger. " - Dale Carnegie



"There is no use whatever trying to help people who do not help themselves. You cannot push anyone up a ladder unless he is willing to climb up himself." - Andrew Carnegie

Monday, June 23, 2008

Life Coaching : Naiza's Case

Naiza berkata : Hati saya susah hendak gembira. Setiap hari ada-ada saja perkara yang mengganggu fikiran. Sebenarnya hal-hal itu kecil. Saya suka tengok orang lain yang selalu nampak gembira. Macam mana saya boleh hilangkan perasaan tidak gembira ini?

Naiza boleh dibantu melalui teknik coaching dengan cara :-

  1. Mendengar luahan hatinya dengan penuh empati. Anda boleh menunjukkan rasa empati itu dengan memandang ke dalam matanya ketika dia bercakap, mengangguk tanda anda mengerti apa yang dia perkatakan, tidak menyampuk dan tidak menunjukkan sikap prejudis kepadanya walau pun anda tahu (melalui luahan hatinya) punca isu tersebut ialah sikap Naiza yang pesimistik.
  1. Bertanya beberapa soalan discovery bagi membantu beliau memikirkan kemungkinan yang dapat memberi gambaran kepada jawapan yang dicarinya. Antara contoh soalan discovery itu seperti berikut :-
  • Apakah yang mendominasi fikiran anda setiap hari?
  • Pada pendapat anda, orang lain yang selalu nampak gembira itu, apakah yang mendominasi fikiran mereka?
  • Berapa kerap anda melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan fikiran anda relaks?
  • Berapa kerap anda melakukan perkara-perkara yang boleh membuat anda tergelak?
  • Apakah perkara yang boleh kita lakukan sekarang untuk membuat anda tersenyum lebar?
  • Apakah satu perkara dalam gaya hidup anda sekarang yang boleh diubah supaya anda merasa lebih gembira?

Dalam coaching, kita tidak perlu menggurui atau menunjukkan salah-silap orang. Dengan lain perkataan, kita jangan bersikap judgemental terhadapnya. Sebaliknya kita cuba membantunya dengan menimbulkan kesedaran.

Dengan menjawab soalan-soalan seperti di atas, Naiza sendiri akan dapat mengesan punca-punca dia selalu tidak merasa gembira. Setelah beliau menyedarinya, anda boleh terus membantu Naiza untuk mengatur langkah bagaimana dia dapat keluar daripada isu itu.

Yang pasti, langkah-langkah (solusi) yang hendak diambil perlu datang daripada Naiza sendiri, bukan daripada anda. Naiza akan lebih mudah menerima dan rela bertanggung-jawab dengan apa yang dipersetujuinya, sebaliknya akan menentang apa yang dipaksakan ke atas diri beliau. Anda perlu selalu mengingati 2 perkara penting dalam coaching iaitu :-

1. Tugas sebagai coach ialah membantu coachee (Naiza) membuat perubahan.

2. Agenda yang hendak dicapai adalah agenda coachee (Naiza), bukan agenda coach.

Nota : Naiza adalah watak rekaan saya.

Saturday, June 21, 2008

Adakah Anda Berminat Mempelajari Teknik Coaching?

Program Certified Business Coach yang sedang saya ikuti di UMCCed (selama 6 bulan) kini sudah hampir 70% selesai.

Dua tahap ujian sudah saya lalui iaitu pada 26 April bagi Core Essential Level dan pada 14 Jun pula bagi Intermediate Level. InsyaAllah, minggu depan pada 28 Jun akan bermula pula Advanced Level.

Untuk coaching attachment assignment, saya masih ada tempoh sehingga 26 Julai, 2008 untuk menyiapkan 5 jam coaching dan membuat lapurannya.

Inilah coachee saya untuk coaching attachment assignment. Semalam saya ke KL untuk sesi coaching bersamanya di Coffee Club Xpress, Kinokuniya, KLCC.

Seperti saya katakan dalam entri sebelum ini, kemahiran coaching wajar dipelajari oleh sesiapa jua yang berminat untuk membantu orang lain dan diri sendiri. Ia boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi, baik dalam menjalankan tugas di tempat kerja, dalam bisnes dan kehidupan seharian kita.

Saya semakin meminati topik coaching ini dan ingin berkongsi teknik yang saya pelajari dengan anda yang mungkin juga berminat mengetahuinya. Bagi saya, ilmu ini wajar disebarkan dan saya akan melakukannya dengan 2 cara.

Pertama, saya sedang menulis sinopsis sebuah buku tentang teknik coaching. Harapan saya semoga sinopsis buku ini akan diluluskan oleh pihak PTS. Hmmm, saya sedang berfikir tentang membuat temu janji dengan editor baru PTS Pro, En. Aizat.

Kedua, saya ingin memperkenalkan teknik ini kepada para usahawan EKS (enterprais kecil & sederhana). InsyaAllah, pada 26 Jun nanti saya dijemput untuk berkongsi topik ini di majlis hi-tea bersama ahli-ahli persatuan Wawasanita di Melaka.

Saya juga bersetuju menawarkan khidmat coaching selama 50 jam secara percuma untuk ahli-ahli persatuan itu. InsyaAllah, setelah mencuba dan melalui sendiri sesi coaching itu nanti, mereka akan lebih memahami bagaimana teknik itu dapat membantu meningkatkan prestasi mereka daripada tahap sedia ada kepada tahap yang lebih baik.

Harapan saya semoga usaha-usaha kecil ini dapat juga memandaikan bangsa dan memberi manafaat kepada kita semua.

Thursday, June 19, 2008

Powerful Questioning

Teknik coaching wajar dipelajari oleh sesiapa jua yang berminat membantu orang lain dan diri sendiri (self-coaching). Tanpa sedar, sesetengah daripada kita sudah pun mengamalkan beberapa teknik coaching dalam kehidupan seharian dan kita melakukannya dengan stail tersendiri. Hasilnya pula adakala berkesan dan pada ketika lain mungkin kurang menjadi.

Mempelajari teknik coaching yang betul membawa banyak faedah kerana ia boleh diaplikasikan dalam berbagai situasi bagi mencapai matlamat yang kita sasarkan. Contohnya di tempat kerja, dalam operasi bisnes, kehidupan seharian, perhubungan sesama insan dan beberapa bidang lain di mana kita perlu menangani pelbagai isu yang kompleks dan mencabar.

Matlamat utama untuk dicapai dalam proses coaching ialah membantu coachee (iaitu individu yang dicoach) meningkatkan prestasinya daripada satu tahap ke tahap yang lebih baik. Ringkasnya coaching melibatkan proses melakukan perubahan. Oleh itu coaching amat berkesan apabila coachee yang menjalani proses itu melakukannya secara sukarela dan bukan kerana dia terpaksa. Dengan lain perkataan, adalah sukar untuk mengcoach individu yang tidak bersedia atau tidak mahu membuat perubahan.

Dalam coaching, coach bertindak sebagai rakan sepanjang jalan. Dia membantu coachee melakukan perubahan bagi mencapai matlamat yang disasarkannya (oleh pihak coachee). Bantuan yang diberi oleh coach ialah dengan menerbitkan kesedaran, mendorong coachee mengambil tindakan dan memantau kemajuan yang dicapai.

Coaching berbeza dengan consulting di mana dalam coaching, jawapan yang dicari datang daripada pihak coachee sendiri. Dalam consulting pula, consultantlah yang akan menentukan apa tindakan yang perlu diambil oleh pelanggannya.

Terdapat dua kemahiran yang menjadi teras utama dalam proses coaching iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertanya. Di sini saya akan menerangkan apa yang dimaksudkan dengan kemahiran bertanya soalan bertenaga atau powerful questioning. Dalam coaching, apabila hendak mengajukan sesuatu soalan kepada coachee, coach perlu terlebih dahulu memikirkan apakah tujuan soalan itu ditanya.

Untuk kita bertanya apa-apa soalan sahaja memang agak mudah. Bagaimana pun, ia boleh bertukar menjadi perbualan biasa (a nice chit-chat). Bertanya soalan dengan tujuan tertentu memerlukan kita berfikir. Soalan perlu diolah supaya kita mendapat jawapan yang boleh membantu pencapaian matlamat yang disasarkan oleh coachee.

Apabila coach bertanya sesuatu soalan, tujuan asas pertanyaan itu ialah bagi mengetahui apa yang akan mendorong coachee mengorak langkah untuk maju ke hadapan. Lain-lain tujuan coach bertanya powerful questions ialah bagi :-

  1. Memahami pandangan, perasaan dan situasi di pihak coachee.
  2. Mencabar andaian-andaian yang dibuatnya.
  3. Mencari kemungkinan dan alternatif baru.
  4. Mencetuskan komitmen dan tindakan di pihak coachee.
  5. Mengalihkan perhatian coachee kepada masa hadapan dan bukan mencari sebab-musabab bagi mewajarkan kegagalan yang sudah lepas.

Friday, June 13, 2008

Price Validity Period

Topik panas waktu ini sudah pasti isu kenaikan harga petrol. Keluhan terdengar di mana-mana. Alum yang baru seminggu lebih tamat pengajian juga mengeluh. Katanya : Anak belum dapat kerja, petrol sudah naik harga. Nanti masa interviu jika ditanya tentang gaji, bolehkah Anak minta dipertimbangkan gaji + kenaikan harga petrol?

Bagi golongan peniaga seperti kami, kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berterusan sejak awal tahun ini sudah pasti memeningkan kepala. Harga barang dan perkhidmatan meningkat lagi minggu ini. Contohnya kos bahan mentah, perkhidmatan lori sewa dan servis courier.

Sehari selepas Pak Lah mengumumkan kenaikan harga petrol, sewa sebuah trailer untuk menghantar kawat duri ke Terengganu naik daripada RM1,200 ke RM1,500 bagi satu trip. Kemudian caj servis courier naik 25% dan harga bahan mentah (galvanized wires) naik lagi berkuatkuasa 7 Jun, 2008.

Harga bahan mentah (besi angle dan dawai besi) sudah naik berkali-kali sejak awal tahun ini. Maka harga segulung kawat duri seberat 10 kg terpaksa kami naikkan daripada RM52 pada bulan Mei menjadi RM56 segulung pada bulan Jun ini. Harga kawat duri High Tensile pula terpaksa dinaikkan daripada RM200 kepada RM240 segulung.

Waktu ini tindakan paling selamat diambil ialah menetapkan tempoh sahlaku harga (price validity period) ketika menyebut harga sesuatu produk. Tempoh sahlaku harga yang agak selamat ialah 2 minggu sahaja memandangkan harga bahan mentah yang kerap meningkat. Suatu masa dahulu tempoh sahlaku harga adalah diantara 60-90 hari. Kini siapa yang berani berbuat begitu!

Pihak pelanggan mengeluh dan marah tetapi apakan daya, kami tidak mampu lagi menyerap kos yang naik bertalu-talu. Siapa yang mahu menanggung kesan kenaikan harga itu jika bukan pihak pembeli? Kesannya memang bertali-tali : pembekal pas kepada kami, kami terpaksa pas kepada pelanggan kami dan mereka pula pas kepada pelanggan mereka.

Lebih memeningkan kepala ialah semakin banyak barangan besi dicuri sejak kebelakangan ini. Tiang-tiang pagar besi yang sudah tegak pun dicabut dan dilarikan orang. Hari ini tiang-tiang besi itu ditanam, esok-lusa semuanya hilang! Inilah gara-gara harga besi buruk yang mahal di pasaran. Bagaimana menyelesaikan isu ini? Hmmm, saya rasa elok diguna tiang konkrit saja.

Thursday, June 12, 2008

FOB & CIF

Pasaran eksport KZ tidak besar. Agak sukar untuk bersaing dengan pengeluar kawat duri dari negeri Cina kerana harga produk mereka lebih murah. Namun begitu, kami beberapa kali mengeksport kawat duri ke Thailand, Reunion Island dan Mauritius. Di sini saya kongsikan beberapa maklumat yang perlu diketahui sebelum kita menjual produk ke luar negara :-

1. Apabila membuat sebutharga untuk pasaran eksport, nyatakan harga produk itu sama ada FOB atau pun CIF.

2. FOB bermakna free on board. Harga FOB bermaksud kos perkapalan dan lain-lain seperti insuran kargo ditanggung oleh pihak pembeli.

3. Contohnya harga disebut : USD10,000 FOB Port Kelang. Ini bererti harga kargo (produk) itu di Port Kelang.

3. CIF bermakna cost, insurance & freight. Harga CIF bermaksud kos perkapalan dan insuran kargo ditanggung oleh pihak penjual.

4. Contohnya harga disebut : USD12,000 CIF Port Louis, Mauritius. Ini bererti harga kargo (produk) itu termasuk penghantaran ke destinasinya.

5. Kargo boleh dihantar dengan 2 cara. Pertama, secara loose cargo (disusun atas pelet kayu dan di shrink wrapped). Kedua, kargo diisi dalam kontena.

6. Kos perkapalan untuk loose cargo lebih murah tetapi agak berisiko (pelet pecah dll.) berbanding mengguna kontena (produk lebih selamat).

7. Urusan penghantaran kargo daripada kilang ke pelabuhan diuruskan oleh ejen forwarding. Caj untuk urusan ini dibayar oleh pihak penjual.

Tuesday, June 10, 2008

Minda Bisnes

Pada sesi diskusi buku minggu lalu, Tuan Amar Mahmood (penulis buku Rahsia Minda Jutawan dan Tarik Kekayaan Dengan Kuasa Minda) berkata : Terdapat sesetengah individu yang ingin atau sudah menceburi bisnes tetapi masih tidak mempunyai minda atau mentaliti bisnes.

Apakah yang dimaksudkan dengan minda dan mentaliti bisnes? Ia bermaksud pemikiran, kepercayaan, emosi dan keyakinan yang betul terhadap bisnes. Tanpanya, kita sukar untuk berjaya meski pun mempunyai skil pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan, kemahiran teknikal serta kerap menghadiri kursus dan seminar berkaitan bisnes.

Mengapakah ini terjadi? Menurut Tuan Amar, memiliki persepsi yang betul terhadap bisnes penting untuk kita berjaya dalam bidang itu. Halangan untuk berjaya dalam bisnes bukan berpunca daripada aspek luaran semata-mata. Halangan juga datang daripada dalam diri individu itu sendiri.

Ini kerana konflik dalam diri (seperti minda, fikiran, kepercayaan, emosi dan keyakinan yang salah terhadap bisnes) mengeluarkan tenaga negatif yang menolak kejayaan yang ingin dicapai. Antara contoh kepercayaan dan persepsi salah tentang bisnes adalah kata-kata berikut :-

  1. Hanya orang tertentu (yang kaya dan berharta) boleh berjaya dalam bisnes.
  2. Ramai orang jatuh muflis kerana menceburi bisnes.
  3. Tanpa saluran politik susah hendak mendapat peluang dan berjaya dalam bisnes.
  4. Bisnes secara kecil-kecilan pun jadilah. Ini saja yang mampu dibuat.
  5. Orang bisnes ramai yang menipu. Jika tidak, bagaimana mereka boleh kaya-raya?
  6. Apa gunanya membuat duit banyak sangat? Wang bukan boleh dibawa mati.
  7. Jika kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.
  8. Orang Cina ada budaya bisnes. Orang Melayu susah hendak menjadi seperti mereka.

Aspek dalaman kita iaitu minda, fikiran, kepercayaan, emosi dan keyakinan diri mempunyai kuasa tenaga. Tenaga itu berupaya menarik frekuensi yang sama sepertinya. Jika kita selalu berfikir secara negatif dan bersikap pesimis terhadap sesuatu, kita akan menarik energi yang serupa ke dalam diri iaitu energi kesukaran dan kegagalan.

Sebaliknya jika kita mengamalkan fikiran positif secara berulang-ulang dan memantau emosi dengan betul, kita akan menarik tenaga positif yang diinginkan.Tekniknya ialah dengan selalu memikirkan apa yang kita mahu (bukan sebaliknya) serta menonjolkan kebolehan dan kekuatan yang kita miliki (bukan sebaliknya).

Berdoa adalah salah satu cara bagi menarik energi positif. Ia suatu amalan yang amat digalakkan dalam Islam. Ketika berdoa dengan kusyuk, fikiran dan hati kita bergetar dan getaran-getaran itu sampai kepada Allah melalui kuasa minda iaitu hubungan kerohanian di antara kita denganNya.

Sebagai orang Islam, kita perlu yakin 100% ketika berdoa. Ini kerana Allah memberi jaminan semua doa hambaNya akan dimakbolkan (sama ada dimakbolkan cepat atau dilewatkan atau diganti dengan yang lebih baik daripada apa yang diminta). Antara amalan bagi melancarkan rezeki adalah doa yang dibaca selepas mengerjakan solat Dhuha. Orang bisnes disaran mengerjakan solat Dhuha secara rutin dan mengamalkan doa berikut :-

Ya Allah! Sesungguhnya waktu Dhuha itu adalah DhuhaMu. Sinar yang bercahaya adalah cahayaMu. Keindahan itu adalah keindahanMu. Kekuatan itu adalah kekuatanMu. Kekuasaan itu adalah kekuasaanMu. Pemeliharaan itu adalah pemeliharaanMu.

Ya Allah! Andainya rezeki kami berada di atas langit, Engkau turunkanlah. Andainya rezeki kami berada di dalam bumi, Engkau keluarkanlah. Jika susah, Engkau permudahkanlah. Jika haram, Engkau halalkanlah. Jika jauh, Engkau dekatkanlah.

Dengan hak waktu DhuhaMu, sinar cahayaMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu dan pemeliharaanMu. Berilah kami apa yang Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Sunday, June 8, 2008

Komitmen

Petang semalam, 7 Jun 2008, berakhirlah sesi bicara buku bersempena sambutan ulang tahun ke 60 kedai buku terkemuka, Syarikat Thai Kuang Sdn. Bhd. di Mahkota Parade, Melaka. Saya dan Zainal datang untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan penulis yang memberi ceramah. Kepada mereka yang terlibat dalam program ini (dari kiri : Tuan Roslan, Tuan Shamsudin, Tuan Faisal, Tuan Mavin dan Tuan Zamri), saya berikan tabik hormat.


Melihat orang-orang muda seperti mereka yang begitu komited dengan apa yang mereka lakukan, saya rasa terharu. En. Shamsudin contohnya, begitu bersemangat berbicara tentang pengurusan kewangan peribadi. Suara beliau sayup-sayup kedengaran memberi peringatan : usahlah berbelanja yang tidak perlu, rancang kewangan supaya hidup tidak dibelengggu hutang keliling pinggang...

Saya ucapkan syabas kepada En. Shamsudin kerana buku-bukunya menjadi bestsellers. Memang selayaknya beliau mencapai status penulis ngetop dengan komitmen yang diberikan. Isteri dan anak-anak kecilnya juga turut serta ke program semalam.

Apa kurangnya dengan komitmen Tuan Zamri, Tuan Faisal dan Tuan Roslan. Saya merasa bangga dengan komitmen dan usaha mereka yang bersungguh-sungguh. Jika dari usia muda mereka berusaha begini, bayangkan hasilnya 5 ke 10 tahun lagi...

Saya bersyukur menjadi sebahagian daripada tim PTS ini. Semoga misi memandaikan bangsa yang dipelopori Puan Sifu PTS memberi manafaat kepada kita semua, insyaAllah. Foto-foto di sini dipetik daripada blog Tuan Zamri Mohamad.

Friday, June 6, 2008

Ceramah Buku Di Mahkota Parade, Melaka

Saya bersama En. Roslan dalam borak-borak PTS

Saya bersama Tuan Amar Mahmood


En. Roslan sedang berceloteh dan menarik perhatian pengunjung


Dari kiri : Tuan Zamri Mohamad, Tuan Amar Mahmood & En. Fakharoll Rodziee Don

Foto-foto di atas di petik daripada blog Tuan Zamri Mohamad. Semalam 5 Jun, 2008, giliran Tuan Amar Mahmood dan saya membicarakan topik-topik berkaitan buku-buku tulisan kami. Ini pengalaman kedua saya bercakap dalam sebuah pusat beli-belah. Istimewanya kali ini acara berlangsung di Melaka Bandaraya Bersejarah, negeri saya sendiri.

Usai bercakap saya mengambil masa bersembang dengan para pengunjung dan menandatangan beberapa buah buku. Salah seorang daripada mereka, En. Fakharoll Rodziee Don adalah pembekal buku dan alat tulis Rhythm. Beliau yang datang dari Taiping dalam perjalanan ke JB dan singgah di MP apabila mengetahui tentang program ini melalui Tuan Amar Mahmood.

Sejurus kemudian saya menerima sms daripada biras saya, Puan Anim Abdul Kadir yang juga seorang guru, berbunyi : Saya dan kawan-kawan mendengar kanda bercakap di pentas tadi. Nampak sayakah tidak? Saya ketawa dan membalas : Alamak! Maaf, tidak perasan. Anim membalas : Heboh saya beritahu kawan-kawan... itu biras saya, itu biras saya, hehehe!

Saya amat berterima kasih kepada En. Roslan Isa yang bersungguh-sungguh mempromosi penulis-penulis PTS dan buku-buku kami. Semangat beliau memang bagus dan harus dipuji. Tahniah kepada PTS kerana mempunyai anggota kerja yang sangat berdedikasi seperti En. Roslan.

Tidak lupa juga kepada Tuan Zamri Mohamad yang saya kira sangat komited mempromosi teman-teman penulis yang bernaung di bawah payung PTS. Sepanjang program berlangsung, Tuan Zamri tidak duduk diam. Beliau sama-sama melayan para pengunjung yang datang melihat buku-buku yang dipamerkan.

Ahli keluarga (Mak, Ayza, Mehmet dan Etuy) dan juga suami saya, Hj. Zainal datang sedikit terlewat. Namun saya amat berterima kasih kerana mereka sentiasa menyokong usaha-usaha saya. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Saya sangat menghargai anda.

Jangan lupa program ini berlangsung sehingga 7 Jun, 2008. Luangkan masa anda bersama penulis-penulis PTS yang akan membicarakan buku-buku mereka pada hari Sabtu ini iaitu Tuan Zamri Mohamad dan En. Shamsuddin Abd. Kadir.

Wednesday, June 4, 2008

Ceramah Buku 'Bisnes, Minda & Kewangan'

Jadual aturcara dan tajuk ceramah yang bakal disampaikan oleh para penulis seperti berikut :-

Penceramah : Tuan Amar Mahmood
Tarikh : Khamis, 5 Jun 2008
Masa : 3.00 – 4.30 petang
Topik : Rahsia Menarik Kekayaan

Penceramah : Puan Norlela Zubir
Tarikh : Khamis, 5 Jun 2008
Masa : 4.30 – 6.00 petang
Topik : Cabaran Dalam Bisnes Keluarga

Penceramah : Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Muhammad Faisal Sharbuddin
Tarikh : Sabtu, 7 Jun 2008
Masa : 3.00 – 4.30 petang
Topik : Rahsia Bisnes Mamak

Penceramah : Tuan Shamsuddin Kadir
Tarikh : Sabtu, 7 Jun 2008
Masa : 4.30 – 6.00 petang
Topik : Kaya dengan Rumah

Kami dengan sukacitanya menjemput Tuan dan Puan serta organisasi hadir bersama-sama ke program yang diadakan khusus kepada warga Melaka ini.

Kami juga amat berbesar hati dengan bantuan Tuan dan Puan menyebarkan maklumat ini kepada individu-individu dan organisasi yang berminat melibatkan diri dalam program ini (entri dipetik daripada blog Tuan Zamri).

Tuesday, June 3, 2008

Book Talk

Entri ini dipetik daripada blog UNIKA. Penulis muda yang terkenal, Tuan Zamri Mohamad memberi pendapatnya tentang book talk sebagai majlis ilmu...

Program book talk masih belum menjadi budaya dan kegilaan masyarakat tempatan, maka semua penulis sedang bereksperimentasi dengan pelbagai kaedah bagi mempromosikan agenda ini. Ia ibarat biji-biji benih yang ditanam dan bakal membesar menjadi pohon yang kuat.

Penulis-penulis (PTS) masing-masing bekerja sebagai satu tim agar budaya book talk akan menjadi seperti ceramah agama di mana orang ramai akan berhimpun mendengar program percuma ini tanpa mengira penulis itu selebriti atau orang baru.

Diharap pada suatu masa nanti, apabila orang mendengar tentang program book talk menderu-deru mereka datang menghadirinya. Itulah misi membudayakan aktiviti ilmu yang sama-sama kita usahakan.

Monday, June 2, 2008

Miracle Question?

Miracle Question adalah satu teknik yang boleh digunakan dalam pendekatan Solution Focus. Bayangkan senario berikut :-

Siti Nor seorang guru yang berdedikasi berusia 38 tahun. Beliau lulusan universiti luar negara dan mengajar Kimia di sebuah sekolah menengah. Sejak akhir-akhir ini Siti Nor merasa bosan dengan kerjayanya. Beliau sering tiada mood dan sesekali terfikir untuk berhenti kerja.

Katakan Siti Nor meminta bantuan anda bagi menyelesaikan isu yang beliau hadapi. Andaikan anda mempunyai 2 pilihan iaitu menggunakan pendekatan Problem Focus dan Solution Focus. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai perbezaan yang ketara. Perhatikan perbezaan itu melalui bentuk soalan yang ditanyakan.

Respon jawapan bergantung kepada bentuk soalan yang ditanya. Jika soalan memfokus kepada problem, respon jawapan juga menjurus ke arah itu. Soalan-soalan yang bersifat Solution Focus memberi informasi yang menjurus kepada mencari jalan keluar.

Problem Focus Approach

Anda : Sejak bila awak rasa bosan dan tiada mood hendak mengajar?

Siti Nor : Sejak awal tahun ini. Kekadang saya malas hendak pergi kerja.

Anda : Hmmm, kenapa begitu sekali?

Siti Nor : Entahlah. Saya rasa tidak bersemangat. Sangat bosan.

Anda : Tadi awak kata, ada terfikir hendak cari kerja lain. Kerja apa?

Siti Nor : Entahlah. Saya belum fikirkan secara serius tentang perkara itu.

Anda : Pelik juga ya. Hmmm, mungkin ada orang aniaya awak. Awak percaya sihir?

Siti Nor : Eh, mengarutlah. Kenapa orang hendak sihir saya?

Anda : Pengetua selalu puji awak. Mungin ada yang cemburu. Hati orang manalah kita tahu.

Siti Nor : Entahlah, saya pun pening sekarang ini. Perasaan saya bosan sangat.

Anda : Berdoalah banyak-banyak. Minta Allah tenangkan jiwa awak.

Siti Nor : Terima kasih sudi mendengar masaalah saya.

Solution Focus Approach

Anda : Sejak bila awak rasa bosan dan tiada mood hendak mengajar?

Siti Nor : Sejak awal tahun ini. Kekadang saya rasa malas hendak pergi kerja.

Anda : Hmmm, apa awak hendak saya buat?

Siti Nor : Berilah saya idea bagaimana hendak atasi perkara ini.

Anda : Katakan malam ini awak tidur nyenyak sangat. Semasa awak sedang tidur, berlaku satu perkara ajaib. Esok pagi semasa bangun tidur, secara tiba-tiba awak terasa seronok sangat hendak pergi sekolah. Ha, ini sungguh ajaib, bukan? Jika ini berlaku, apa agaknya yang buat awak rasa seronok sangat?

Siti Nor : Hmmm, mungkin saya jadi seronok sangat sebab saya ada sepasang baju baru yang cantik. Apabila saya pakai baju itu, saya nampak langsing dan ayu.

Anda : Oh, begitukah? Apa lagi yang buat awak seronok sangat?

Siti Nor : Saya bersolek dengan cantik dan saya rasa keyakinan diri saya tinggi.

Anda : Apa yang buat awak rasa lebih berkeyakinan?

Siti Nor : Sebenarnya saya rasa lebih beryakinan jika penampilan saya menarik. Saya tidak suka dengan penampilan diri saya sekarang. Badan saya besar, pakai apa pun nampak tidak cantik. Saya rasa bosan sebab sudah cuba kuruskan badan tetapi tidak berkesan.

Anda : Awak suka penampilan yang bagaimana?

Siti Nor : Saya suka macam Adibah Noor. Dia plus-size tetapi nampak lawa... bla… bla… bla…

Nota

1. Teknik bertanya soalan ajaib diguna dalam pendekatan solution focus bagi mengalihkan tumpuan orang yang dirundung masaalah daripada tenggelam dalam masaalahnya.

2. Apabila soalan ajaib ditanyakan kepadanya, fikiran orang itu beralih daripada memikirkan problem (yang tidak berkesudahan sehingga tidak nampak jalan penyelesaian).

3. Soalan ajaib membuka ruang untuknya berfikir tentang jalan keluar…